Bekas Ahli Lembaga HRDF Alu-Alukan Siasatan SPRM dan KSM Terhadap Dakwaan Penyelewengan

9594

PUTRAJAYA, 12 Jun- Presiden Persekutuan Penyedia Latihan Malaysia dan Persatuan TVET (FMTA) yang juga merupakan bekas ahli Lembaga pengarah Tabung Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRDF) RA Thiagaraja mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan yang dilemparkan terhadap dirinya.

Beliau menyifatkan tindakan Datuk Sri Ganes yang juga merupakan salah seorang penyedia latihan berdaftar dengan HRDF, membuat laporan rasmi kepada SPRM sebagai paling tepat untuk mendapatkan keadilan berbanding melemparkan tuduhan tidak berasas menggunakan platform lain seperti sosial media.

Menurut Thiagaraja, beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai ahli Lembaga pengarah HRDF serta merta pada 8 Jun lalu, apabila namanya terpalit dengan dakwaan Ganes, kerana ingin memberi ruang bagi pihak Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan pihak berkuasa berkaitan lain menjalankan siasatan terhadap dakwaan penyelewangan itu.

“Untuk rekod, tiada pembiayaan atau peruntukan dari HRDF diterima sehingga kini oleh FMTA atau disalurkan kepada FMTA. Untuk makluman semua, terdapat penyedia latihan lain dari pelbagai persatuan yang juga merupakan sebahagian daripada lembaga. Menyasarkan saya yang dilantik sebagai ahli pengarah HRDF atas kapasiti presiden FMTA, saya lihat ini sebagai serangan peribadi,”

 Tambah beliau, pihaknya kini sedang dalam proses memulakan tindakan undang-undang terhadap individu-individu yang dipercayai sedang menyebarkan berita-berita palsu terhadap dirinya yang juga merupakan seorang Ketua pegawai Eksekutif sebuah syarikat penyedia latihan.

 Semalam , Thiagaraja tampil di sidang media ringkas oleh Sri Ganesh yang hadir di SPRM untuk menyerahkan bukti penyelewangan yang dikaitkan dengan dana RM300 juta milik HRDF.

Menurut Sri Ganes, walaupun seorang pengurusan tertinggi PSMB dan seorang ahli lembaga pengarahnya meletak jawatan, baru-baru ini, siasatan perlu diteruskan bagi mengenal pasti pihak yang terbabit dalam penyelewengan itu.