Malaysia Sambut Hari Farmasi Sedunia Peringkat Kebangsaan 2018

251

Hari Farmasi Sedunia peringkat kebangsaan 2018  dengan tema Ahli Farmasi: Pakar Ubat Anda telah disambut oleh semua ahli-ahli Farmasi Malaysia  pada 20-21 Oktober 2018 baru-baru ini.

Sambutan kali ini yang diadakan di Pusat Beli Belah MyTOWN  telah  dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pertahanan Malaysia serta Kementerian Pendidikan Malaysia bersama-sama beberapa pertubuhan yang mewakili bidang farmasi di negara ini.

Antaranya termasuk Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Persatuan Farmasi Komuniti Malaysia (MCPG), Persatuan Farmaseutikal Malaysia (PhAMA) dan Pertubuhan Industri Farmaseutikal Malaysia(MOPI).

25hb September merupakan tarikh sambutan Hari Farmasi Sedunia yang telah
ditetapkan oleh Persekutuan Farmasi Antarabangsa (FIP) di Kongres Sedunia Sains Farmasi dan Farmaseutikal 2009 di Istanbul, Turki.

Antara objektif utama sambutan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada orang
awam tentang peranan dan kerjaya ahli farmasi di sektor awam dan juga
swasta.

Selaras dengan percambahan pelbagai bidang baru di dalam kerjaya ini, peranan
ahli farmasi kini bukan hanya tertumpu di hospital, tetapi juga di dalam sektor perubatan tradisional, industri, akademik dan juga penyelidikan.

Selain itu, peranan ahli farmasi juga menjadi semakin rumit dan mencabar apabila ia turut melibatkan usaha untuk mendidik rakyat supaya lebih peka tentang kesihatan diri susulan peningkatan bilangan penghidap penyakit tidak berjangkit serta juga lambakan ubat-ubatan yang tidak berdaftar di pasaran.

Ahli farmasi memainkan peranan penting sebagai tenaga professional bidang penjagaan
kesihatan yang paling mudah diakses oleh rakyat secara umumnya.

Peluang ini menjadi satu kelebihan kepada ahli-ahli farmasi untuk meningkatkan
usaha penyampaian maklumat yang betul mengenai ubat-ubatan kepada masyarakat.

Berbagai acara berbentuk aktiviti ilmiah dan juga sesi perkongsian maklumat telah diatur sepanjang tempoh dua hari sambutan kali ini.