Adakah Anda Sedang Lakukan Jenayah Cetak Rompak Digital?

1106
Gambar Hiasan Sumber: Google Image

Cyberjaya: Tahukah anda, sebagai pengguna yang melanggan perkhidmatan disediakan penyedia perkhidmatan tidak berlesen, anda sudah terlibat dengan kegiatan cetak rompak digital?

Tidak kira samada langganan anda dalam bentuk perkhidmatan televisyen (TV) satelit tanpa lesen ataupun dalam bentuk perkhidmatan penstriman haram. Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia (CFM) yang merupakan sebuah organisasi yang memberi fokus kepada hak-hak pengguna berkongsi beberapa maklumat penting mengenai risiko melanggan perkhidmatan haram ini termasuk juga penstriman percuma yang sebenarnya merupakan sebahagian dari kegiatan cetak rompak digital.

Melalui satu kenyataan akhbar,  CFM menjelaskan, cetak rompak digital bukan sahaja menjejaskan organisasi media dan syarikat penyedia kandungan tetapi juga berisiko memudaratkan pengguna. Sekiranya terdapat masalah daripada langganan perkhidmatan kandungan tidak berlesen, pengguna tidak akan mendapat penyelesaian juga ganti rugi daripada pihak berkuasa yang berkaitan mahupun membuat aduan rasmi kerana perkhidmatan tersebut tidak didaftarkan secara sah. Pada masa yang sama pengguna juga berisiko untuk kehilangan wang tanpa sebarang notis apabila pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas perkhidmatan haram tersebut.

Di samping itu, perkhidmatan TV satelit dan penstriman tidak sah ini menyediakan kandungan tidak ditapis yang boleh mendedahkan pengguna terutamanya kanak-kanak, kepada kandungan yang tidak sesuai dan tidak diingini. Membeli peranti kandungan yang tidak disahkan juga mempunyai ancaman tersendiri kerana peralatan tersebut tidak diperakui keselamatannya dan tidak mempunyai pensijilan yang diiktiraf serta mempunyai risiko kerosakan lebih tinggi sehingga boleh menyebabkan kerosakan pada peralatan lain.

Pengguna juga berhadapan dengan risiko ‘dijangkiti’ ‘perisian jahat’ atau malware apabila memasang peranti dekoder (set-top boxes) dengan aplikasi licik pada rangkaian jalur lebar rumah. Ia boleh menyebabkan pengguna terdedah kepada kecurian data persendirian dan jenayah siber lain.

Sebaliknya CFM menjelaskan sebagai alternatif kepada kandungan digital cetak rompak, pengguna boleh melanggan perkhidmatan kandungan yang sah seperti HyppTV, iflix, Tonton selain perlu memastikan peranti yang digunakan juga telah disahkan. Dengan melanggan perkhidmatan berlesen dan membeli peranti yang disahkan, pengguna dijamin dapat memperoleh perkhidmatan berkualiti dan boleh mendapatkan penyelesaian atau ganti rugi sekiranya terdapat masalah dengan langganan mereka.

Bagi mereka  yang ingin mendapatkan maklumat yang tepat serta tips berkaitan perkhidmatan komunikasi dan multimedia boleh menghubungi talian hotline CFM di 1-800-18-2222 atau menghantar email ke aduan@cfm.org.my.