CyberSecurity Malaysia Perkukuh Prasarana Keselamatan Siber Negara

2738
  • MoU bagi menjalin kerjasama dalam bidang keselamatan siber untuk mengukuhkan keupayaan keselamatan siber negara.
  • Meliputi lima aspek jaminan keselamatan siber
  • CyberSecurity Malaysia akan memberi khidmat nasihat teknikal – termasuk kesediaan forensik bagi aplikasi sistem pengawasan keselamatan kepada Kerajaan

CyberSecurity Malaysia hari ini menandatangani memorandum persefahaman bersama Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) bagi menjalin kerjasama dalam bidang keselamatan siber untuk mengukuhkan keupayaan keselamatan siber negara.

Kerjasama yang dimeterai ini meliputi lima aspek yang merangkumi jaminan keselamatan, forensik digital, pengurusan insiden keselamatan siber, pembangunan kompetensi dalam bidang keselamatan siber dan pensijilan keselamatan siber.

CyberSecurity Malaysia yang merupakan pusat pakar keselamatan siber nasional akan memberi khidmat nasihat teknikal dalam pelaksanaan program serta aktiviti berkaitan bidang keselamatan siber termasuk kepada kesediaan forensik bagi aplikasi sistem pengawasan keselamatan kepada Kerajaan.

Kerjasama dari segi jaminan keselamatan akan membolehkan kedua-dua pihak mengukuhkan tahap keselamatan siber melalui aktiviti Security Posture Assessment (SPA), Ujian Kerentanan (Vulnerability Assessment) dan Penembusan (Penetration Testing);  dan Ujian Penilaian Sistem Kawalan (Control System Security Assessment ).

Bagi aspek forensik digital, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam pembangunan Rangka Kerja Kualiti Video Keselamatan Awam (Video Quality in Public Safety(VQiPS) framework) dalam Aplikasi Sistem Pengawasan Keselamatan (Security Surveillance Application System.

 Manakala kerjasama dari segi pengurusan insiden keselamatan siber akan membabitkan penyertaan pihak Kerajaan dalam Projek Sistem Aplikasi Cyber999 CRM bagi mengukuhkan kerjasama dalam pengendalian insiden dan tindak balas keselamatan siber.

Dari segi pembangunan kompetensi dalam bidang keselamatan siber pula, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam meningkatkan pembangunan kompetensi pegawai-pegawai CGSO dalam bidang keselamatan siber menerusi kursus/latihan/pensijilan dan program seminar keselamatan siber.

Manakala dari segi pensijilan keselamatan siber, bekerjasama dalam pembangunan piawaian pusat data (data centre site certification) bagi premis-premis yang mempunyai kepentingan keselamatan kepada Kerajaan.

Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Cyber Security Malaysia, Datuk Dr.Amirudin Bin Abdul Wahab dan Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia, CP Dato’ Zamri bin Yahya, di pejabat CyberSecurity Malaysia di Seri Kembangan.

“Jalinan kerjasama sejajar dengan konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara CyberSecurity Malaysia dan CGSO amat penting untuk membina dan mengukuhkan benteng keselamatan siber negara bagi mengelak, melindungi dan memerangi ancaman penjenayah siber yang kian meluas ke atas negara,” kata Datuk Dr. Amirudin Abdul Wahab.

CP Datuk Zamri bin Yahya turut meluangkan masa selama sejam untuk melawat prasarana makmal forensik digital dan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia, (MyCERT) bersempena MoU tersebut.