IJN Nafi Keluar Status Surat Jaminan

823

Kuala Lumpur, 24 Ogos 2017- Institut Jantung Negara (IJN) nafi pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau status mengenai isu surat jaminan seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Melalui satu kenyataan rasmi kepada media, entiti korporat yang beroperasi di bawah Kementerian Kewangan itu turut menjelaskan bahawa nama dan individu yang tertera di dalam status yang dimuat naik di media sosial itu juga bukan kakitangan organisasi berkenaan.

Kenyataan dari Jabatan Komunikasi Korporat IJN sebaliknya  menjelaskan bahawa IJN sedia berkhidmat untuk semua kategori pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan di hospital berkenaan menggunakan  polisi perlindungan kesihatan yang telah ditetapkan oleh majikan ke atas pekerja dan/atau tanggungan mereka.

Sebagai Hospital tertiari, IJN menegaskan bahawa hospital itu menerima semua jenis surat jaminan dari agensi-agensi kerajaan  samada Persekutuan, Negeri , Badan Berkanun ataupun Syarikat Swasta dan juga pesakit persendirian yang datang sendiri ke institusi jantung berkenaan.

Pesakit yang ingin mendapatkan rawatan di IJN menggunakan surat jaminan kerajaan ataupun syarikat korporat, dinasihatkan untuk merujuk pekeliling agensi/organisasi atau polisi syarikat terlebih dahulu untuk mendapatkan pemprosesan prosedur yang betul.

Polisi perlindungan kesihatan atau surat jaminan yang dikeluarkan kepada pekerja dan/tanggungan mereka adalah tertakluk kepada kelayakan yang telah ditetapkan majikan di agensi/organisasi dan syarikat masing-masing.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian, Kesihatan Datuk Seri Dr Chen Chaw Min  turut menegaskan kerajaan sentiasa komited untuk memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat.

Tambah beliau, sepanjang tahun lalu sahaja, kerajaan telah membelanjakan RM435.65 juta untuk membiayai kos rawatan pesakit tanggungan kerajaan di IJN.